Surau Insaniah sepi dihujung pekan Teluk Intan

Di negeri Perak, madrasah moden pertama negeri ini (juga bagi seluruh Tanah Melayu) dibina pada tahun 1901 terletak di sebuah bandar kecil Teluk Anson (kini Teluk Intan). Madrasah ini telah diberi nama Madrasah Al-Ihsaniah. Cadangan untuk menubuhkan madrasah ini timbul selepas Sheikhul Islam Tuan Haji Muhammad Salih Bin Haji Muhammad Tayyib mendapat jemputan dari pemimpin tempatan dan respon yang baik dari masyarakat tempatan di Teluk Intan. Madrasah Ihsaniah telah ditubuhkan dengan hasil wakaf dari Sultan dan masyarakat menawarkan pengajian dalam bahasa Arab dan juga pengajian bahasa Melayu serta turut menerima pelajar dari luar daripada Negeri Perak. Iklan promosi madrasah Ihsaniah ini telah mendapat reaksi daripada pembaca al-Imam yang turut berminat untuk mendapatkan pendidikan di madrasah tersebut. Wakaf yang diperolehi dalam menubuhkan madrasah ini sebahagian besarnya diperolehi daripada Paduka Seri Sultan Idris Murshidul’Adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar sendiri. Ini adalah kerana baginda merupakan seorang Sultan, Yang Dipertuan yang sangat mengambil berat mengenai aspek pendidikan dan pembangunan Negeri. Baginda jua berperanan di dalam penubuhan kebanyakan madrasah dan juga surau di negeri Perak. Untuk menjamin perjalanan surau dan madrasah di Negeri Perak, Paduka Seri Sultan Idris Murshidul’Adzam Shah Ibni Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar telah menyediakan Dana Khas untuk menampung perbelanjaan institusi-institusi keagamaan tersebut. Sumber dari Ku-Alam dan akhbar Straits Times

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.