Wabak besar pernah melanda ditanah syam!


 

 Memperingati peristiwa wabak tha’un Amwas 

 PADA tanggal 18H bersamaan 639M tersebarnya wabak tha’un dengan begitu cepat di wilayah Syam yang dikenali dengan wabak tha’un Amwas. Dinamakan sedemikian kerana dinisbahkan kepada satu kampung di Palestin yang menjadi punca utama tersebarnya wabak ini, iaitu kampung Amwas. 

 

Wabak ini dikatakan telah menyebabkan kematian hampir 25,000 rakyat Syam termasuklah sebahagian Sahabat-sahabat utama Rasulullah S.A.W. Di antaranya Abu Ubaidah Amir Al-Jarrah, Mu’az bin Jabal, Syurahbil bin Hasanah, Suhail bin Amru, Yazid bin Abi Sufyan dan Amir bin Ghailan As Tsaqafi. – (At Tarikh Al Islami Al Wajiz, Dr. Muhammad Suhail Thaqqus) 

 

Tersebarnya wabak tha’un atau wabak-wabak lain pernah disebutkan oleh Baginda S.A.W sebagai satu petanda akhir zaman. 

Daripada Auf bin Malik R.A, dia berkata, aku mengadap Rasulullah S.A.W pada saat beliau berada di sebuah khemah yang terbuat dari kulit ketika perang Tabuk. Baginda S.A.W bersabda: “Ingatlah olehmu bahawa akan terjadi enam petanda sebelum datangnya kiamat nanti. (1) Kematianku. (2) Pembukaan Baitul Maqdis. (3) Kematian besar-besaran yang menimpa kalian bagaikan kambing yang mati secara tiba-tiba. (4) Melimpahnya harta benda hingga seseorang yang diberi seratus dinar pun tetap marah. (5) Fitnah yang menimpa setiap rumah orang Arab. (6) Perdamaian yang terjadi di antara kalian dengan ‘Bani Asfar’, lalu mereka mengkhianati kalian dan mereka akan mendatangi kalian dengan lapan puluh panji yang setiap panjinya terdiri daripada 12 ribu pasukan.” (Hadith Riwayat Bukhari (400 Hadis Akhir Zaman))  

 

Selepas kewafatan Baginda S.A.W, Allah mentakdirkan peristiwa kedua dan ketiga berlaku di zaman Umar Al Khattab R.A. Pembukaan Baitul Maqdis berlaku pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 16H/637H, selepas pembukaan Syam, kemudian disusuli pula dengan tersebarnya wabak tha’un pada tahun 18H. – (At Tarikh Al Islami Al Wajiz, Dr. Muhammad Suhail Thaqqus) 

 

Bagaimana mengekang wabak tha’un? Selama berbulan-bulan arahan dan nasihat ketua-ketua seperti Abu Ubaidah dan Muaz bin Jabal ialah supaya semua orang bersabar di tempat masing-masing dan menunggu sehingga ujian ini selesai. Mereka juga memberi semangat bahawa kematian dalam wabak ialah satu jenis mati syahid. Tetapi, apabila ketua-ketua tersebut terkorban, muncul Amru ibn Al-‘Aas sebagai pemangku. 

 

 Terkenal sebagai Sahabat yang genius dalam hal politik dan berani melakukan ijtihad, beliau mengarahkan kesemuanya untuk berpindah ke satu puncak bukit. Pandangan ini ditentang keras oleh sebahagian rakan, tetapi tetap diteruskan. Akhirnya wabak ini beransur reda dan lenyap sama sekali. – (Dr Jefri Irwan Harris MBBS IIUM)  

 

Abu Ubaidah terkena jangkitan (frontliner) Nama sebenarnya ‘Amir bin Abdullah bin Al-Jarrah bin Hilal bin Uhaib bin Dhabbag bin Al Harith bin Fehri, yang bertemu nasab dengan Nabi S.A.W pada moyangnya Al Fehri. Selepas kewafatan Nabi S.A.W, ketika pemilihan khalifah di Thaqifah Bani Saidah, namanya dicadangkan oleh Abu Bakar As-Siddiq bersama Umar al-Khattab sebagai pengganti. 

 

Ketika Umar al-Khattab mendapat khabar semakin merebaknya wabak ini, lantas beliau menulis surat kepada Abu Ubaidah dan menyuruhnya bersegera datang ke Madinah atas kerisauannya untuk kehilangan permata berharga (Aminul Ummah) Islam tersebut. Akan tetapi ditolak permintaan tersebut dengan baik atas faktor tanggungjawab yang digalasnya untuk membantu penduduk Syam menghadapi wabak. 

 

Lalu menangislah Umar kesedihan. Apabila ditanya kepada Umar, apakah Abu Ubaidah telah mati? Jawab Umar, tidak, tetapi aku merasai kematian itu menghampirinya. Dan ternyata firasat Umar tepat, Abu Ubaidah syahid dalam perjuangannya mencegah wabak. – (Siyar A’lam Nubala’ Imam Zahabi). Ganjaran syahid pada yang mati terkena wabak Dalam bergelut dengan ‘tentera Allah’ yang sukar dilihat dengan mata kasar, Allah memberikan suatu kemuliaan bagi sesiapa yang terkorban ketika melawan sakit ini dengan ganjaran mati syahid. 

 

Sabda Nabi S.A.W; “Tidaklah seorang hamba yang terkena wabak tha’un, lalu dia diam (kuarantin) di dalam negerinya (tempat tinggalnya yang terkena wabak) dengan sabar, sesungguhnya tidak akan terjadi sedemikian kecuali ketentuan Allah baginya, baginya ganjaran seumpama mati syahid.” (Riwayat Imam Bukhari) 

 

Pengajaran Hari ini Allah menguji dan memberi amaran melalui makhluk-Nya yang halus, iaitu COVID-19. Wabak menjadi penyakit bagi umat akhir zaman sebagaimana yang dijanjikan oleh Nabi S.A.W. Secara pasti ia datang dengan izin Allah, juga ujian buat orang beriman, tetapi ia juga disebabkan tangan-tangan manusia yang berterusan melakukan kerosakan di muka bumi. 

 

Ayuh kita kembali pada Allah dan berserah diri pada-Nya. Berserah diri pada Allah mestilah disertai dengan usaha untuk mencegahnya. Antaranya adalah dengan mematuhi arahan dari masa ke semasa yang telah diberikan oleh kerajaan. Bukanlah dari akhlak orang beriman apabila mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. Sikap Saidina Abu Ubaidah Al-Jarrah sewajarnya dipuji, menggalas tanggungjawab menjaga rakyatnya sepenuh jiwa hingga mengorbankan dirinya sendiri. 

 

Begitu juga pujian dan ucapan terima kasih diucapkan buat semua frontliner hari ini yang bertungkus lumus hari demi hari demi nyawa orang ramai. Semoga Allah pelihara dan jauhkan dari bahaya virus buat mereka semua yang bertugas di seluruh negara. 

Amin. 

 MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN 

20 Mac 2020 

 

 'YaAllah, berkatilah kami dibulan rejab dan syaaban, dan sampaikanlah kami kebulan ramadhan' Ameen yarabb. 

 

wallahuaklam 

jauh sudah kukembara

 http://www.dadiydoo.com

  23/3/2020

No comments

Powered by Blogger.